Selangorkini
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Empat PPR dikecuali bayar sewa sebulan

SHAH ALAM, 9 APRIL: Selangor hari ini mengumumkan pengecualian bayaran sewa selama sebulan membabitkan empat Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliannya.

PPR terbabit ialah PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi membabitkan 2,632 unit penyewa.

EXCO Perumahan Haniza Mohamed Talha berkata PPR tersebut turut diberi penangguhan sewa selama dua bulan pada Mei dan Jun bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berdasarkan aduan diterima, terdapat penyewa tidak mampu membayar sewa bulanan atas beberapa sebab seperti pemotongan gaji oleh majikan, tidak dapat keluar berniaga dan hilang mata pencarian.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap perkara yang diputuskan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung oleh semua penyewa,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut menyeru rakyat mematuhi arahan PKP untuk memastikan kehidupan kembali seperti sedia kala.

Pada 21 Mac lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan pengecualian bayaran sewa sebulan membabitkan 9,185 unit rumah PPR.

PPR terbabit ialah PPR Sentul Murni, Rumah Transit Bukit Jalil, PPR Lembah Subang 1, PPR Lembah Subang 2, PPR Kampung Hassan Hulu Selangor dan PPR Ladang Siliau Port Dickson.

Turut tersenarai, PPR Tok Suboh, PPR Amanjaya, PPR Kota Setar, PPR Sinar Intan 3, PPR Gua Musang dan PPR Kota Bahru.


Pengarang :