Hanya imam dan bilal mengerjakan solat Zohor di Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam pada 18 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais minta bilal umum solat tarawih di rumah

SHAH ALAM, 17 APRIL: Bilal perlu membuat pengumuman meminta semua ahli kariah menunaikan solat tarawih di rumah selepas azan Maghrib dan Isyak sepanjang Ramadan ini, kata Jabatan Agama Islam Selangor.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata hanya imam, bilal dan siak yang bertugas boleh menunaikannya di masjid dan surau, namun menggunakan pembesar suara di dalam ruang solat sahaja.

“Nota Khas Panduan Pelaksanaan Solat Sunat Tarawih di rumah dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jais akan dihebahkan dalam masa terdekat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mohd Shahzihan berkata imam, bilal dan siak boleh melaksanakan tadarus al-Quran selepas solat tarawih menggunakan pembesar suara luar menara, namun tidak melebihi jam 10.30 malam.

“Pengurus masjid boleh mengambil inisiatif mengadakan tazkirah secara langsung di Facebook masjid masing-masing pada waktu yang difikirkan sesuai seperti sebelum atau selepas Zuhur, sebelum azan Isyak atau selepas solat sunat tarawih.

“Masjid daerah dan masjid diraja boleh memasang bacaan ayat al-Quran 15 minit sebelum azan Maghrib menggunakan pembesar suara luar pada kadar sederhana,” katanya lagi.


Pengarang :