Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kolam ikan punca empat loji air dihenti tugas, MB gesa pemilik dihukum

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pencemaran bau di Sungai Selangor yang menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) dihenti tugas malam tadi berpunca dari kolam ternakan ikan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kolam berkenaan turut menjadi punca pencemaran Sungai Selangor pada 13 Februari lalu, namun dapat dikesan awal.

“Selepas punca bau dikesan, serbuan dilakukan di kolam berkenaan oleh Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Pengurusan Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor.

“Seorang pekerja yang sedang tidur ditahan manakala yang lain sempat melarikan diri,” katanya pada sidang media di kediaman rasminya di sini hari ini.

Susulan itu, Amirudin berkata pemilik kolam tersebut bakal dikenakan tindakan tegas kerana masih beroperasi walaupun diarah tutup sejak Februari lalu.

Bermula 11 malam hingga 6.30 pagi tadi, LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihenti tugas berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor.

Susulan itu, pengguna di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air, yang dijangka pulih 12 tengah hari ini.

Amirudin berkata pihaknya akan menghantar bekalan di kawasan terbabit sekiranya paras air masih rendah dan menjejaskan pengguna.

“Ini kali ketiga pencemaran air berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dan kita akan mengambil tindakan tegas kepada pihak berkenaan,” katanya.


Pengarang :