Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Fama, Datuk Abdul Ghariff Ramin
AGENSISELANGOR

Operasi pasar segar Fama diteruskan jika PKP bersambung

SHAH ALAM, 8 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan melanjutkan operasi enam pusat Pasar Segar Terkawal (PST) di negeri ini jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadual berakhir 14 April disambung.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Fama, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata pusat-pusat PST yang sedang beroperasi ialah di tapak pasar tani Puchong, Dengkil, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Katanya, dua lagi pusat berkenaan ialah di MyFarm Outlet Putrajaya dan Ibu Pejabat Fama di Bandar Baru Selayang.

“Jika kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKP maka operasi di semua pusat PST di Selangor juga akan dilanjutkan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian.

“Sejak mula beroperasi 1 April lalu, semua pusat tersebut menawarkan tujuh kategori produk iaitu sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging, produk industri asas tani serta barangan runcit seperti beras, telur, minyak masak dan bawang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Ghariff berkata status dua PST yang ditangguhkan pembukaannya atas faktor keselamatan iaitu di pekarangan Stadium Shah Alam dan Seksyen 15 akan ditentukan oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat.


Pengarang :