Kakitangan Hospital Pakar KPJ Ampang menyimpan sampel ujian untuk dihantar ke makmal selepas mengendalikan saringan Covid-19 secara pandu lalu pada 9 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penurunan kes Covid-19 di Selangor permulaan baik – Dr Dzulkefly

SHAH ALAM, 16 APRIL: Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan penurunan kepada hanya 17 kes baharu Covid-19 di Selangor merupakan permulaan baik bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga.

Pengerusi Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata ini kerana penurunan berbanding 50 kes sebelumnya, menunjukkan warga negeri memandang serius mengenai wabak tersebut.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Selangor adalah 1,316. Lebih menarik, bilangan kes sembuh pula dua kali ganda melebihi kes baharu,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk data STFC setakat jam 12 tengah hari semalam.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly memohon orang ramai supaya terus mematuhi arahan PKP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Patuhi PKP fasa ketiga, insyaAllah kita mampu depani ujian getir ini bersama-sama. Kita pasti menang,” katanya.

Pada 10 April lalu, STFC memulakan Saringan Komuniti besar-besaran di Hulu Langat bagi mengesan individu dijangkiti virus tersebut.

Sebanyak 400 hingga 500 ujian saringan akan dilaksanakan sehari supaya lebih banyak kes dapat dikenal pasti terutama melibatkan golongan berisiko tinggi.


Pengarang :