AGENDA NASIONAL

Perkeso pantau pemberhentian pekerja ketika Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) memantau secara aktif kes pemberhentian atau kehilangan pekerjaan di seluruh negara termasuk setiap perusahaan di semua sektor, berikutan keadaan ekonomi semasa yang terjejas oleh pandemik Covid-19.

Setakat Rabu lepas, SIP merekodkan sebanyak 205,342 permohonan daripada majikan untuk Program Subsidi Upah yang berupaya menstabilkan pekerjaan bagi 1.67 juta pekerja manakala lebih 25,411 majikan memohon Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) merangkumi 208,907 pekerja yang bercuti tanpa gaji.

Inisiatif ini, menurut Perkeso bertujuan menstabilkan pekerjaan, mengelak pemberhentian pekerja beramai-ramai dan melindungi pekerjaan, justeru membolehkan pekerja khususnya dalam kumpulan B40 mampu menyara diri dan keluarga ketika waktu sukar ini.

“Walaupun terdapat peningkatan tuntutan manfaat SIP, bilangan pekerja yang kehilangan pekerjaan mereka masih terurus iaitu angkanya dalam lingkungan di bawah 6,000 sebulan.

“Bagaimanapun, kami memantau situasi ini setiap hari dan memaklumkan kerajaan mengenai apa-apa kenaikan yang tidak dijangka,” menurut Perkeso dalam kenyataan hari ini.

Mengenai inisiatif pasca Covid-19, Perkeso memaklumkan Kementerian Sumber Manusia sedang dalam proses pembaharuan dan pengukuhan Perkhidmatan Pekerjaan Awam Malaysia, memperkenalkan pelbagai dasar dan program pasaran buruh yang aktif, menggalakkan pewujudan pekerjaan dan memastikan tenaga kerja dilengkapi dengan kemahiran dan kecekapan terkini bagi memenuhi perubahan pesat dalam landskap pasaran buruh dan pekerjaan masa depan.

Selain itu, terdapat keperluan untuk mengkaji semula undang-undang sedia ada terutama memperluaskan skop liputan pekerjaan SIP dan perlindungan pendapatan untuk golongan masyarakat paling mudah terjejas seperti mereka yang bekerja sendiri dalam sektor tidak formal.

– BERNAMA


Pengarang :