Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 16 April 2020 melambaikan tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas merawat jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kuarantin wajib berjaya bendung penularan wabak – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 25 APRIL: Keputusan kerajaan mewajibkan individu yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin adalah tepat kerana ia terbukti berjaya membendung penularan Covid-19, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu juga dapat mengekang wujudnya kluster baharu membabitkan kes import.

Katanya, seramai 131 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air sejak 3 April lalu dan menjalani kuarantin wajib disahkan positif Covid-19.

“Saya pernah sebutkan bayangkan jika 131 ini dibenarkan pulang dan menjalani kuarantin sendirian di rumah, ia akan mewujudkan kluster baharu di mana bukan sahaja mereka, tetapi boleh merebak kepada keluarga dan masyarakat.

“Sebab itu tindakan kita untuk mewajibkan kuarantin bagi rakyat yang pulang dari luar negara adalah tindakan tepat,” katanya.

Beliau berkata, seramai 1,794 rakyat Malaysia pulang ke tanah air pada Khamis dikuarantin wajib dengan jumlah keseluruhan yang menjalani proses itu sejak 3 April lalu ialah seramai 19,945.

Katanya, sejak 17 April lalu, seramai 6,778 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

“Sehingga semalam sebanyak 209 pusat kuarantin beroperasi berbanding 204 pada hari sebelumnya yang mana 16,633 individu sedang menjalani proses berkenaan,” katanya.


Pengarang :