Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau bilik gerakan Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Batu Caves selepas menyerahkan sumbangan topeng muka dan cecair pembasmi kuman kepada Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor pada 4 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ramai disaring punca Selangor rekod kes Covid-19 tertinggi

SELAYANG, 4 APRIL: Selangor merekodkan kes positif Covid-19 tertinggi di negara ini disebabkan jumlah individu yang berjaya disaring  akibat wabak itu semakin bertambah, kata Dato’ Menteri Besar.

“Alhamdulillah walaupun kes di Selangor masih lagi tertinggi, tapi kita dalam keadaan yang terkawal. Jumlah yang besar itu, menunjukkan kita berjaya saring dalam jumlah banyak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan 63 kes baharu positif Covid-19 yang menunjukkan penurunan 11 kes berbanding 74 kes direkodkan sehari sebelum itu.

“Saya percaya kita boleh atasi Covid-19. Justeru untuk menyekat penularan wabak ini daripada terus berlaku, sepanjang fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan saya minta rakyat Selangor terus kekal duduk di rumah.

“Pada masa sama, segera rujuk pusat kesihatan berhampiran sekiranya anda mengesan adanya simptom dan gejala berkaitan, dan pastikan sentiasa jaga kebersihan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim, Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor dan Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang Amir Fazlee Khalid.

Malaysia sehingga kini merekodkan sebanyak 3,333 kes positif Covid-19 manakala 827 kes pulih sepenuhnya dan 53 kematian. Seramai 108 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 54 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.


Pengarang :