Muhammad Rizanizam Abdul Hamid, 39, menawarkan perkhidmatan ‘runner runcit’ di beberapa kawasan sekitar Melaka menjadi pilihan anak-anak yang tidak dapat balik kampung semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membeli barangan keperluan dapur buat ibu dan bapa mereka. Foto: BERNAMA
PENDAPATRENCANA

‘Runner runcit’ selesai masalah anak tidak boleh balik kampung

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April bagi mengekang penularan wabak Covid-19, pekerja swasta Mohd Bakri Mohd Amir, 40, mula dilanda keresahan dan jadi tidak keruan.

Bukan disebabkan rasa bosan bekerja dari rumah, sebaliknya anak sulung dari tiga beradik ini bimbang dengan bekalan barangan keperluan asas emak ayahnya yang menetap di Batu Berendam, Melaka, sama ada mencukupi atau tidak.

Mohd Bakri dan dua orang adiknya tinggal berjauhan daripada emak dan ayah mereka. Dua adiknya menetap di Kuala Lumpur manakala beliau pula tinggal di Seremban.

“Walaupun Seremban dan Melaka taklah sejauh mana tetapi kerajaan dah banyak kali pesan jangan balik kampung takut kita bawa balik virus itu tanpa disedari. Disebabkan itulah kami akur biar pun tidak ada penyakit itu.

“Adik dah beli barang dapur dan bekalan cukup sehingga 31 Mac tetapi tak sangka pula dilanjutkan. Risau kami dibuatnya, kalau barangan dapur di kampung tak mencukupi,” katanya ketika dihubungi Bernama menerusi telefon baru-baru ini.

Biarpun ayah dan emaknya dalam keadaan sihat, boleh berjalan, namun Mohd Bakri dan adik-adiknya tidak mahu emak dan ayah mereka keluar daripada rumah untuk membeli barang makanan memandangkan warga emas berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit Covid-19 itu.

Apatah lagi, ayahnya, Mohd Amir Zulkifli, 69, seorang pesara kerajaan, menghidap penyakit darah tinggi manakala emaknya, Siti Khadijah Azizul, 67, pula menghidap penyakit kencing manis.

Ini yang membuatkan mereka bimbang kerana berdasarkan rekod kematian pesakit Covid-19, kebanyakan mangsa adalah warga emas yang berumur 60 tahun ke atas serta mempunyai sejarah penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis atau juga dikenali sebagai penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Walaupun penyakit kencing manis emak terkawal, begitu juga tekanan darah tinggi ayah, tetapi kami memang langsung tidak benarkan mereka berdua keluar beli barang dapur. Emak ayah memang suka ke pasar beli barang dapur dan itu merisaukan kami sebab biasalah orang tua suka bersembang.

“Bimbang mereka akan lama di pasar. Emak dan ayah mungkin tak tahu orang yang bercakap dengan mereka itu sihat atau mungkin ada berpenyakit Covid-19. Ini berbahaya lagi pun sistem imun orang tua mungkin kurang tambahan untuk yang berpenyakit NCD, “ jelas Mohd Bakri.

Cari runner

Hasil pembincangan adik-beradik, akhirnya bapa kepada seorang anak ini mendapat idea untuk mencari perkhidmatan pembelian secara dalam talian atau penggunaan runner bagi mendapatkan barangan keperluan asas untuk emak ayahnya di kampung.

Menggunakan laman sosial Facebook dengan kata carian personal shopper atau runner kawasan sekitar Melaka, akhirnya Mohd Bakri berjaya menemui perkhidmatan berkenaan yang dikendalikan oleh bekas wartawan Harian Metro, Muhammad Rizanizam Abdul Hamid.

Beberapa urusan pembelian barangan runcit untuk pelanggannya yang dimuat naikkan menerusi akaun Reza Hamid serta komen positif oleh pelanggannya, menarik perhatian Mohd Bakri untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan bekas wartawan itu.

“Saya dapat idea untuk cari perkhidmatan tersebut selepas melihat perkhidmatan penghantaran makanan seperti Foodpanda, GrabFood yang semakin meningkat sejak PKP dilaksanakan. Jadi, saya fikir takkanlah tak ada perkhidmatan pembelian atas talian untuk barangan runcit.

“Di KL, perkhidmatan itu dah banyak tapi tak tahulah pula di negeri lain. Bila cari-cari, syukur rupanya ada juga yang menawarkan perkhidmatan ini di kawasan emak ayah saya tinggal, Batu Berendam dengan caj penghantaran dikenakan pun tidaklah mahal sangat, dalam RM35,” katanya.

Bagi Mohd Bakri, perkhidmatan tersebut membantu emak ayahnya untuk mendapatkan barangan dapur tanpa perlu ke pasar. Ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada Mohd Bakri dan adik-adiknya yang tidak tinggal sebumbung dengan orang tua mereka.

Apa yang menariknya ialah selepas ‘runner’ membuat penghantaran, beliau akan mengirim gambar penyerahan barangan dan ayah Mohd Bakri ada sekali di dalam gambar berkenaan.

“Bila tengok gambar ayah yang dikirimkan ‘runner’ tersebut, barulah hati kami tenang. Terubat juga rasa rindu apabila melihat gambar ayah. Setakat ini, memang sangat berpuas hatilah dengan perkhidmatan yang ditawarkan dan insya-Allah saya akan gunakan lagi perkhidmatan ini sepanjang tempoh PKP.

Antara barangan yang dibelikan termasuk ikan kembung 1 kilo, udang setengah kilo, sotong setengah kilo, ikan cencaru 4 ekor, santan 1 kilo, sayur seperti kangkung, kubis dan daun bawang.

Rezeki jadi runner barangan runcit

Menurut Muhammad Rizanizam, 39, atau lebih dikenali sebagai Reza, perkhidmatan pembelian barangan runcit yang diiklankannya di Facebooknya itu mendapat permintaan sangat memberangsangkan khususnya daripada kalangan anak-anak yang tidak dapat pulang ke kampung berikutan PKP.

Beliau yang pernah berkhidmat selama kira-kira sembilan tahun dengan Harian Metro sebelum ini menjual roti pelangi ‘Ugly Toast’ bagi menampung kehidupan keluarganya selepas tamat perkhidmatannya dengan akhbar berkenaan.

Bagaimanapun, perniagaannya berhadapan masalah disebabkan pelaksanaan PKP dan beliau mengambil keputusan untuk menjadikan pekerjaan ‘runner runcit’ bagi menampung perbelanjaan keluarganya sejak 27 Mac lepas.

“Saya memang terpaksa hadkan antara lima hingga enam pesanan saja. Daripada jumlah itu, boleh dikatakan hampir setiap hari saya akan mendapat dua pesanan daripada anak yang berada seperti di Johor dan Seremban untuk membelikan barangan dapur buat emak ayah mereka di sekitar Melaka.

“Ramai yang meluahkan rasa lega dan sangat berterima kasih kerana ada perkhidmatan seperti yang saya sediakan disebabkan kesukaran balik ke kampung berikutan PKP. Malah, mereka juga tidak kisah untuk membayar lebih daripada caj servis yang ditetapkan.

“Bagi mereka, yang penting ayah dan emak mereka selamat di rumah berbanding perlu beratur panjang hanya semata-mata untuk membeli barang dapur kerana itu sangat berisiko bagi warga emas,” katanya.

Bagi memastikan keselamatannya terjamin serta pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuklah warga emas, bapa kepada tiga orang ini berkata beliau sentiasa menitikberatkan perihal kebersihan dengan sentiasa mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Selain memakai pakaian berlengan panjang, sarung tangan, penutup mulut dan hidung yang akan ditukar tiga kali sehari, beliau juga turut mengenakan perisai muka semasa membuat urusan pembelian barangan runcit.

Runner pahala

“Biasanya, saya akan cuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum, selepas pembelian, semasa dalam kereta dan juga sebelum keluar kenderaan untuk hantar segala pembelian kepada pelanggan. Saya juga amalkan jarak satu meter selain meminta pembeli tidak perlu keluar rumah kerana segala barangan akan diletakkan di depan pintu rumah mereka.

“Bagaimanapun, selalunya warga emas ini suka sangat nak sambut sendiri barangan yang kita belikan. Ada yang kata untuk menghormati orang tetapi ini bukan masanya. Kita perlu lebih berjaga-jaga.

“Saya selalunya tidak akan menyerahkan barangan pembelian selagi warga emas tersebut tidak masuk ke dalam rumah,” katanya.

Hanya mengenakan caj penghantaran antara RM30 sehingga RM40 bergantung kepada jarak kawasan, beliau yang memiliki kelulusan Diploma Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata sambutan untuk bisnesnya sangat memuaskan sehingga tidak menang tangan dibuatnya.

Bagaimanapun, beliau mengehadkan urusan pembelian barangan runcit itu untuk beberapa lokasi tertentu seperti Cheng, Batu Berendam, Telok Mas, Duyong dan Bukit Katil kerana barangan runcit dan basah mudah diperolehi di tempat-tempat itu.

“Rakyat Malaysia sangat pemurah sebenarnya. Selain menjadi runner barangan runcit, saya juga dikenali sebagai runner pahala kerana ramai yang menjadikan cara penghantaran sebegini untuk membeli barang dan bersedekah kepada golongan memerlukan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :