Anggota tentera berkawal di hadapan Plaza City One pada 1 April 2020 selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berikutan penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sekitar Masjid India lokasi kelima dikawal lebih ketat

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kelima di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur  berkuat kuasa hari ini hingga 28 April ini, kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD yang diputuskan atas nasihat Menteri Kesihatan melibatkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang yang terletak di sekitar Masjid India.

“Semua penghuni kawasan terbabit diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,”katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Berkenaan PKP di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut memutuskan PKPD di Batu 21 hingga 23 di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat yang tamat malam tadi, kecuali bagi Maahad Tahfiz An Nabawiyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Katanya, kerajaan juga memutuskan tempoh PKPD di dua kampung di Simpang Renggam, Johor; Menara One City di Jalan Munshi Abdullah dan bangunan Selangor Mansion serta Malayan Mansion di Jalan Masjid India turut dilanjutkan sehingga 28 April kerana pertambahan kes positif Covid-19.

Pada 30 Mac lalu, kawasan Batu 21 hingga 24, Sungai Lui dikenakan PKPD ekoran penularan Covid-19  di kawasan itu.

Pada 31 Mac lalu kerajaan mengenakan PKPD ke atas Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, dan Menara One City.

Sebelum itu, PKPD turut dilaksanakan di dua buah kampung di Simpang Renggam  bermula 27 Mac lalu.


Pengarang :