Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar (dua, kanan) menyerahkan sumbangan makanan asas kepada salah seorang penyelia rumah anak yatim pada 23 April 2020. Foto Ihsan Facebook Yide
AGENSISELANGOR

Yide-Mais sumbang makanan asas sempena Ramadan

SHAH ALAM, 24 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang makanan asas kepada 10 rumah anak yatim di sekitar negeri ini sempena menyambut Ramadan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata makanan asas yang disumbang meliputi beras, minyak masak, gula, kicap dan tepung gandum.

“Agihan makanan asas bertujuan memastikan setiap rumah anak yatim ini mempunyai makanan asas yang lengkap dan cukup untuk disediakan kepada 395 orang (anak yatim),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bantuan kepada mereka yang memerlukan adalah hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Covid-19 Mais.

“Selain itu, kita turut mendapat kerjasama dengan QSR Brands Holdings Bhd melalui Pizza Hut Restaurants Sdn Bhd yang menyediakan set hidangan pizza buat rumah anak yatim seliaan Yide,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan bantuan melalui Tabung Prihatin Covid-19 Mais dengan melayari http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php atau pindahan wang ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) (12038010134961) atas nama Majlis Agama Islam Selangor. (Nyatakan:Tabung sumbangan Covid19).


Pengarang :