Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong yakin kerajaan tangani kesan buruk Covid-19

SHAH ALAM, 18 MEI: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yakin kerajaan akan berusaha mengurangkan kesan buruk akibat penularan wabak Covid-19 kepada rakyat dan negara.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah wabak yang belum pernah melanda negara dengan sebegitu serius itu turut memberi kesan kepada ekonomi serta kesihatan rakyat.

Dalam menghadapi wabak itu, titah baginda fokus utama kerajaan adalah memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin dan terbela, termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta membawa pulang rakyat yang terkandas di luar negara.

“Beta memahami banyak industri dan perniagaan terjejas akibat wabak ini. Namun beta menyeru kepada majikan untuk tidak membuang pekerja dengan sewenang-wenangnya.

“Semua pihak hendaklah sedia melakukan pengorbanan demi meringankan beban rakyat serta ekonomi negara.

“Beta juga berharap kerajaan memberi tumpuan untuk membantu syarikat dan perniagaan yang terjejas teruk seperti industri pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berharap inisiatif Majlis Tindakan Ekonomi yang memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM260 bilion akan segera dirasai impaknya.

“Pakej tersebut amat besar dan luar biasa. Justeru, ia perlu disokong sepenuhnya oleh semua pihak dan beta yakin dengan kerjasama dan kesepakatan yang jitu, cabaran yang kita hadapi ini akan dapat ditangani bersama,” titah baginda.


Pengarang :