Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
AGENDANASIONAL

Anwar: Tidak adil pertikai guru ketika perintah kawalan

SHAH ALAM, 16 MEI: Pihak tertentu yang mempertikaikan peranan dan pengorbanan guru sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dianggap sebagai tidak adil, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (Pakatan) berkata kritikan itu disifatkan tidak wajar kerana mereka masih bertugas dalam tempoh berkenaan dengan pembatasan sosial.

“Saya harap guru cukup bersemangat walaupun ketika Covid-19 (tugas mereka) terbatas, ini seperti saya sebutkan (pembelajaran) melalui digital dan secara dalam talian, iaitu guru boleh berkhidmat, malah sekarang ini terus berkhidmat,” katanya dalam sesi Facebook Live hari ini.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata apa menjadi masalah ketika ini adalah capaian internet kurang baik di kawasan luar bandar dan pedalaman yang menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Sempena sambutan Hari Guru hari ini, Anwar berkata beliau mengiktiraf peranan golongan pendidik serta memuliakan profesion perguruan atas khidmat dan pengorbanan mereka kepada pembentukan bangsa dan negara.

“Kita doakan sebaiknya kepada guru dan tenaga pengajar, bila sebut guru ini termasuk semua sekali di sekolah, dari yang jaga makmal, kebersihan dan lain-lain, kita harus ucap setinggi-tinggi penghargaan,” katanya.


Pengarang :