BUDAYARENCANA

Tukul

Oleh Hafiz Hamzah

PEKAN sekecil ini mana boleh menyimpan dua orang pembunuh. Aku terdengar beberapa orang bercakap ketika dalam bas ke pasar pagi tadi. Ada reaksi terkejut dari berita yang mula tersebar dalam telefon; mayat seorang perempuan muda baru ditemui di muara sungai. Berita begini adalah kegemparan bagi sebuah tempat yang biasanya jauh dari keriuhan. Aku juga cukup terganggu dengan berita itu. Kerana, bukan aku pembunuhnya.

Aku tak akan bunuh perempuan, apatah lagi yang muda belasan tahun. Kali terakhir tangan ini mencabut nyawa orang — dan pekan ini mendengar tentang cerita pembunuhan — ialah 13 tahun lalu. Ada pesan bertulis yang ditinggalkan dalam peti surat, meminta pertolongan. Aku tahu itu daripada teman Ria, anak sekolah yang tinggal tak jauh. Di lain hari, ketika aku sedang merenung ke luar tingkap di belakang rumah dan layap memerhatikan ribut hujan yang seperti tak ingin reda, aku ternampak Ria dikejar dan diseret masuk semula ke rumahnya. Seperti cuaca petang itu, ada nasib buruk yang sedang menunggu.

Aku capai ponco hitam dan sebatang tukul besi bulat. Padahal jaraknya tak jauh mana; sebaik saja aku sampai di rumah Ria, dia tak lagi bernyawa. Lehernya dijerut tali pinggang yang masih terletak di situ. Ria terlangkup meniarap. Bapa tirinya sedang menindih dari atas, memuaskan nafsu terhadap jasad kanak-kanak yang tak lagi bernafas. Aku tak dapat membayangkan kegilaan apa yang bersarang dalam diri lelaki seperti itu.

Seingat aku, tak ada fikiran yang sempat melintas. Naluri kebinatangan hanya akan membangkitkan binatang-binatang yang lain. Sekali hayun, tukul aku singgah di bahagian kiri kepalanya; satu bunyi retak dan ada darah menyembur ke dinding. Tengkoraknya pecah. Sebelum nyawanya terputus, aku membuka tutup kepala, mengalihkan wajahnya agar bertentangan. Aku ingin dia tatap wajah orang yang melakukan kesakitan terhadapnya. Semua itu adalah kepuasan, dan tak terlalu sukar untuk aku lakukan. Di luar, ribut dan guntur bertambah galak.

Tak ada sesiapa datang mencari aku selepas itu, sama seperti tak ada seorang pun yang datang kepada aku ketika ini untuk bertanyakan tentang kes berkenaan. Dua tubuh tanpa nyawa di dalam sebuah rumah kelamin. Entah apa yang dijawab emak Ria kepada polis. Aku tak pernah tahu siapa yang mereka syaki. Ia kemudiannya menjadi kes beku dan dibiarkan larut dalam waktu tanpa ada penyelesaian. Kemudiannya dilupakan.

Sejak itu, aku berbangga dengan status legenda tentang diri aku yang meniti dari mulut ke mulut orang-orang di pekan ini. Betapa gerunnya mereka selepas itu. Dosa memang selalu membuatkan orang rasa bersalah. Mereka tak perlu tahu siapa pelakunya, tetapi aku sangat menyukai cerita yang akan terus hidup lama selepas aku mati. Nyawa-nyawa lain yang pernah aku langsaikan sebelum itu rasanya tak perlulah diceritakan. Sebab itu, aku tertanya-tanya siapa gerangan yang baru muncul dan mula diperkatakan orang di sini, sekali gus merampas kesenangan yang sangat aku nikmati sejak sekian lama sebagai pembunuh misteri.

Orang baru ini, dengan segala tindakannya telah berhasil membawa aku ke surau dan masjid-masjid, sedangkan sudah sangat lama kaki aku tak mengenal tangga dewan sembahyang. Untuk mencari tahu siapa pelakunya, aku duduk di meja jamuan selepas Isyak, terutamanya malam Jumaat, ketika orang ramai berlonggok untuk bergosip entah apa selepas berwirid panjang. Aku juga duduk lama-lama di kedai kopi dan warung, memasang telinga kalau-kalau ada sesiapa — atau mungkin orang itu sendiri — yang terlepas cakap atau membincangkan kejadian terbaru itu dengan perincian-perincian yang belum aku ketahui.

Tak ada orang biasa yang dengan mudah dapat mengesan perwatakan buas. Hanya pembunuh yang akan dapat mengenal dan menghidu pembunuh lain. Detektif paling berpengalaman sekalipun mungkin memerlukan masa lebih panjang untuk melakukannya; dalam kes aku, mereka gagal sama sekali. Ada waktu, aku akan melilau di pasar basah juga. Jarang aku bertanya, hanya akan menyambung berbualan yang sudah dimulakan, dan berpura-pura tak tahu-menahu tentang banyak perkara.

Dalam keramaian satu pagi minggu di warung sarapan tak jauh dari muara, aku merasa ada gesaan berbeza. Aku terpandang seseorang yang seperti aku, jauh lebih muda mungkin, duduk berseorangan dan larut dalam minda sendiri. Itu bukan wajah biasa di pekan ini, aku pasti. Matanya tak dapat menyembunyikan satu macam bara ghairah yang aneh, walaupun wajahnya bersahaja dan polos. Sekali-sekala kami bertentang mata, tetapi dia tak ingin menatap aku sepenuhnya.

Khabar-khabar angin yang dikutip dari mulut orang-orang yang sempat aku dengar diputarkan kembali dalam kepala. Sudah dua minggu, dan polis masih tak ada apa-apa petunjuk berguna. Tak ada siapa dapat menjelaskan bagaimana rupa dan fizikal orang itu. Yang berlegar hanyalah kekejaman yang dia lakukan terhadap mangsa. Itu pun, tak ada apa yang menarik atau dilakukan dengan imaginasi baru; mangsa mati dicekik. Menggunakan kekerasan ke atas orang yang lemah, itu bacul.

Aku syak, dia melakukannya selepas mendapat apa yang diinginkan daripada perempuan malang itu. Tak ramai yang boleh faham, kadang kala, untuk memuaskan naluri ganas pemangsa, pelakunya nyaris tak akan berbuat apa-apa secara fizikal sebelum menamatkan riwayat mangsanya. Sekadar untuk menyaksikan batang tubuh lain berada dalam cengkaman, itu sudah memberikan rasa puas yang genting. Tak ada rogol, tak ada liwat, tak ada cabul. Hanya keinginan yang dalam untuk menakluki dan rasa berkuasa. Semudah itu matlamatnya.

Ketiadaan sebarang maklumat berguna setakat ini berkaitan suspek pembunuhan itu membuktikan polis di pekan makmur ini tak boleh diharap. Aku tak menjangkakan apa-apa daripada mereka. Hidup sekadar hidup, tak ada rasa tanggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah amanah dan lindungan mereka. Sangat aneh untuk memikirkan hal ini; kalau orang nista seperti aku boleh memahami semua itu, kenapa tidak orang-orang yang kononnya budiman seperti mereka? Makan tahi.

Aku cuma berharap pemuda di warung pagi itu dapat menterjemah pesan yang aku kirim melalui panah anak mata ketika kami berselisih pandang; pekan ini hanya boleh menjadi rumah untuk seorang pembunuh sahaja. Yang seorang lagi eloklah hidup dalam pelarian, jika tak mahu perbuatannya diselongkar, atau nyawanya dicabut di usia muda dan menjadi kegemparan baru.

 

 

 


Pengarang :