Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias (kanan). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bayar saman dalam talian, nikmati diskaun 50 peratus

PETALING JAYA, 16 MEI: Pengguna jalan raya mempunyai saman tertunggak boleh mendapat diskaun sehingga 50 peratus dengan membuat bayaran secara dalam talian mulai 18 hingga 21 Mei ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata diharap pengguna berkaitan akan mengambil peluang itu bagi menyelesaikannya dengan melayari laman www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.

“Kita faham dengan keadaan sukar dihadapi kini ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala sebahagian pula bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri,” katanya dipetik The Star online.

Mengulas lanjut, beliau berkata kaunter perkhidmatan di ibu pejabat polis daerah di seluruh negara akan dibuka secara berperingkat mulai 18 Mei untuk kemudahan pembayaran saman dan pembekalan dokumen berkaitan kes kemalangan bagi tuntutan insurans.

Kaunter dijangka dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang setiap hari Isnin dan Rabu di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Manakala pada Jumaat, kaunter akan dibuka dari jam 9 pagi hingga tengah hari.

Sementara itu, di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, kaunter akan dibuka setiap Isnin, Rabu dan Ahad dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

Azisman berkata pihaknya menasihatkan pengguna jalan raya mematuhi tatacara operasi piawai semasa PKPB ketika berurusan di kaunter.


Pengarang :