Sekitar kawasan perumahan di Jalan Othman, Petaling Jaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan SelangorKini pada 12 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Selangor rekod sembilan kes baharu, tiga jangkitan import

SHAH ALAM, 17 MEI: Kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat hari ini dengan sembilan individu positif berbanding satu yang direkodkan semalam.

Menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor, tiga kes dicatatkan di Hulu Langat, Gombak (dua) dan Petaling (satu) manakala selebihnya kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Selangor sebanyak 1,636 manakala 119 adalah kes aktif.

“Bilangan pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital sebanyak 1,450 manakala kes kematian kekal 21 orang,” katanya.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan kes baharu di negeri ini masih berada dalam radar selamat meskipun berlaku sedikit kenaikan berbanding semalam.

“Paksi dalam pengurangan kes baru adalah sikap diri anda sendiri Jika anda tidak disiplin, bersedia saja hadapi akibat lebih buruk,” tulisnya di Facebook.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 22 kes positif direkodkan hari ini, angka ketiga tertinggi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Sebelum ini, angka kes kedua terendah iaitu sebanyak 17 kes pada semalam dan pertama terendah ialah 16 kes pada 12 Mei lalu.

Kes kematian di Malaysia akibat pandemik itu pula kekal 113 orang.


Pengarang :