EXCO Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Log manual dibenarkan jika pengunjung kurang mahir guna telefon

SHAH ALAM, 13 MEI: Semua premis perniagaan di negeri ini tidak perlu mewujudkan duplikasi rekod manual sekiranya pengunjung menggunakan aplikasi Langkah Masuk dengan Selamat (SELangkah).

Bagaimanapun, EXCO kesihatan berkata penggunaan buku log masih dibenarkan terutama dalam kalangan warga emas dan individu yang tidak mahir menggunakan telefon bimbit.

“Penyelesaian bagi mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit kini sedang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri,” kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata akses sistem tersebut turut dikongsi bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi menjejak jangkitan Covid-19.

Bagi tujuan pemantauan dan audit kepatuhan tatacara operasi piawai pembukaan sektor ekonomi pula katanya, akses log sistem dikongsi bersama agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan Negeri menggesa semua pemilik premis dan rakyat untuk memanfaatkan sistem SELangkah yang mampu melindungi premis dan diri anda seterusnya memudahkan urusan petugas barisan hadapan membuat pengesanan kontak,” katanya.

SELangkah menggunakan konsep asas kawalan automatik bagi pendaftaran individu yang memasuki sesuatu premis dengan mudah dan pantas.

Melaluinya, pengunjung hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit dan mendaftar maklumat seperti nama dan nombor telefon.


Pengarang :