Pasukan penguat kuasa KPDNHEP cawangan Gombak melakukan pemeriksaan di premis runcit sekitar Gombak pada 1 Mei 2020. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENSISELANGOR

Gagal pamer tanda harga, tiga kedai Aceh dikompaun

SHAH ALAM, 2 MEI: Tiga peniaga kedai runcit Aceh di Gombak semalam masing-masing dikompaun RM1,000 kerana tidak mempamer tanda harga, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

Agensi itu memaklumkan pemeriksaan dibuat selepas menerima aduan dari bilik gerakan dan laman sesawang sistem e-aduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Hasil pemeriksaan, tiga premis perniagaan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mempamerkan dan menyelenggara tanda harga barangan yang dijual,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu, KPDNHEP Selangor berkata dua premis runcit di Sungai Buaya turut dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan sama.

“Peniaga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan perintah yang dikuatkuasakan KPDNHEP,” katanya.


Pengarang :