Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di kawasan PKPD Selayang Baru, Gombak pada 1 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pusingan U BNM hanya bebankan rakyat

BATU CAVES, 2 MEI: Pengembalian faedah moratorium ke atas sewa beli hanya membebankan rakyat yang mahu memulakan semula kehidupan selepas berdepan krisis kewangan susulan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengecewakan banyak pihak dan perkara itu sepatutnya dijelaskan lebih awal bagi mengelak kekeliruan.

“(Pelaksanaan moratorium) tidak seperti janji awal dan tindakan sewajarnya harus diambil bagi mengelak bebanan berterusan yang perlu ditanggung rakyat.

“Apatah lagi rakyat khususnya yang berpendapatan rendah mahu memulakan semula perniagaan dan kehidupan dengan kos tertentu,” katanya selepas melawat dan menyampaikan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan di Balai Penghulu Mukim Batu di sini semalam.

Kerajaan pada 25 Mac lalu mengumumkan moratorium bayaran pinjaman bank membabitkan individu, pengusaha kecil dan sederhana serta korporat untuk meringankan beban susulan Covid-19.

Bagaimanapun, BNM menyatakan berlaku kekeliruan mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang ditunjukkan dalam versi awal soalan lazimnya, yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat.


Pengarang :