Rakaman gambar siluet petugas kesihatan Selcare membuat ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Selayang pada 22 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMI

K-One mahu pasarkan alat ujian Covid-19 di Malaysia, luar negara

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Penyedia penyelesaian teknologi K-One Technology Bhd berkata alat bagi ujian swab nasal atau hidung keluaran syarikat itu dijangka dipasarkan di negara ini, tertakluk kepada kelulusan berkaitan oleh pihak berkuasa tempatan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata ia akan mendapatkan kelulusan di bawah Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

K-One turut menyasarkan pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan negara-negara Asean yang mencatat permintaan tinggi terhadap produk tersebut.

Pada 6 Mei lepas, K-One mengumumkan bahawa ia akan menceburi bidang pengeluaran swab nasal yang bertujuan mendapatkan sampel cairan daripada bahagian belakang rongga hidung.

Swab itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam bekas mengandungi medium kultur sebelum dihantar ke makmal bagi tujuan pengesanan Covid-19.

Syarikat itu juga telah membuat pesanan dengan pemaju dan pengeluar teknologi percetakan 3D terkemuka yang berpangkalan di AS untuk membekalkan pencetak 3D bagi mencetak swab 3D berkenaan.

“Pemaju dan pengeluar teknologi di AS itu, bekerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan AS juga telah menerima status Pengecualian Kelas 1 Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) untuk reka bentuk swab yang dihasilkan.

“Ia kini dibekalkan kepada penyedia penjagaan kesihatan,” kata K-One.

Swab hidung sering dihasilkan menerusi kaedah penyuntikan pengacuan yang melibatkan bahan poliester yang dilekatkan pada hujung syaf plastik.

– BERNAMA


Pengarang :