Petugas Kementerian Kesihatan melakukan saringan Covid-19 kepada peniaga dan ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Dewan Beringin Taman Sri Gombak pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster syarikat pembersihan, 24 warga Bangladesh positif Covid-19

SHAH ALAM, 29 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu membabitkan pekerja warga asing dari sebuah syarikat pembersihan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 24 kes Covid-19 dilaporkan daripada kluster berkenaan melibatkan warganegara Bangladesh.

“Kes positif dikesan sebuah klinik swasta selepas saringan Covid-19 dijalankan ke atas pekerja terbabit melalui inisiatif majikan syarikat berkenaan.

“Seramai 20 daripada 24 individu positif menginap di sebuah asrama dekat Kuala Langat, Selangor manakala empat lagi di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata KKM akan mengenal pasti dan melaksanakan saringan ke atas semua kontak rapat mereka termasuk yang bertugas di unit lain.

“Setakat ini, seramai 428 kontak rapat dikenal pasti dan disaring, kita berharap dapat laksanakan termasuk menyiasat punca sebenar.

“Namun, kebanyakan kluster melibatkan warga asing berpunca daripada penginapan yang sempit sehingga tidak dapat mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

Malaysia merekodkan 103 kes baharu Covid-19 hari ini, 84 kes tersebut melibatkan warga asing.


Pengarang :