Pengunjung pasar raya Giant di Seksyen 7, Shah Alam menjalani pemeriksaan suhu badan dan mematuhi jarak sosial sebelum dibenarkan masuk ke premis itu pada 5 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KP Kesihatan: Disiplin sosial tinggi cegah penularan wabak

SHAH ALAM, 7 MEI: Jangkitan Covid-19 di negara ini boleh diatasi sekiranya rakyat mengamalkan disiplin sosial tinggi seperti di Taiwan, Korea Selatan dan Vietnam.

Ketua pengarah kesihatan berkata kepatuhan rakyat di tiga negara tersebut yang mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) berjaya mengekang penularan wabak, lapor Harian Metro.

“Kita kaji kenapa mereka berjaya tanpa ada halangan ekonomi. Mungkin salah satu sebab kerana negara berkenaan pernah melalui peperangan, jadi mereka tahu penting mematuhi SOP untuk hidup.

“Kita harap rakyat Malaysia boleh patuh dan mengamalkan disiplin sosial tinggi, mungkin kita akan berjaya,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya semalam.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi melandaikan keluk wabak sudah tercapai dan diharap Malaysia mencatat hanya satu digit kes baharu pertengahan bulan ini.

“Kalau kita lihat pada PKP fasa tiga, kita catat dua angka (kes baharu) selama 13 hari. Kita masih menggalakkan semua orang duduk di rumah jika tiada urusan luar.

“Mereka yang bekerja di sektor ekonomi juga perlu berhati-hati untuk memastikan penularan wabak dalam kalangan komuniti tidak berlaku,” katanya lagi.


Pengarang :