Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Semua golongan pekerja nikmati hasil ekonomi Selangor

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan Selangor mahu menghidupkan semula ekonomi negeri bagi memastikan kualiti kehidupan semua golongan pekerja terjamin.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menyedari petani, nelayan dan peniaga antara golongan paling terancam berikutan wabak Covid-19.

“Kerajaan Negeri sedang merangka sebaik mungkin langkah menghidupkan semula ekonomi demi mendepani dunia pasca Covid-19 tanpa sesiapa pun tertinggal,” katanya dalam perutusan Hari Pekerja hari ini.

Beliau berkata peranan kerajaan penting dalam menyediakan ekosistem yang mampu mencipta kerjaya  dan kekayaan untuk membiayai kehidupan rakyat.

Katanya, sejumlah besar belanjawan diperuntukkan bagi mengupayakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan penubuhan Institut Pemberdayaan Pekerja bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Kerajaan Negeri juga akan terus mengupayakan modal insan Selangor agar berinovasi dan mampu mengharungi kehidupan seiring IR4.0,” kata beliau.

Amirudin berkata pelbagai inisiatif turut disediakan bagi mengurangkan beban rakyat akibat wabak Covid-19 menerusi pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin fasa satu dan dua, diikuti beberapa inisiatif lain.

 


Pengarang :