AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Moratorium: Peminjam sewa beli punya pilihan bayaran balik

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Pelanggan pinjaman sewa beli yang memilih untuk mengambil moratorium selama enam bulan dari 1 April hingga 30 September, 2020 akan mempunyai pilihan dari segi pembayaran balik, menurut Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM).

Dalam kenyataan, ABM berkata pelanggan yang berkaitan boleh memilih untuk membayar ansuran terkumpul enam bulan yang ditangguhkan bersama ansuran Oktober 2020 mereka tanpa dikenakan sebarang faedah tambahan.

“Atau mereka boleh meneruskan pembayaran balik ansuran ini selepas Oktober 2020 melalui lanjutan enam bulan tempoh pembayaran balik selepas tarikh matang asal.

“Dalam perkara ini, faedah berdasarkan kadar kontrak akan dikenakan ke atas jumlah ansuran yang tertangguh sehingga ansuran ini dibayar sepenuhnya, yang sepatutnya pada akhir tempoh enam bulan yang dilanjutkan,” katanya.

Bagi pelanggan sewa beli yang tidak mengesahkan secara rasmi penerimaan moratorium selepas menerima notifikasi daripada bank masing-masing, mereka dianggap tidak mengambil moratorium, katanya.

“Oleh itu, pelanggan sewa beli ini perlu terus membayar ansuran bulanan mereka seperti biasa mengikut jadual asal,” katanya.

Bagaimanapun, ABM berkata bank ahlinya tidak akan mengenakan caj faedah tambahan atau fi bayaran lewat bagi ansuran tertunggak untuk April dan Mei 2020 oleh pelanggan yang menangguhkan bayaran ansuran bulanan mereka, jika bayaran bagi April, Mei dan Jun 2020 dibuat tidak lebih daripada 30 Jun, 2020.

“Jika bayaran tidak dibuat menjelang 30 Jun, 2020, akaun akan tertunggak dan caj bayaran lewat akan mula terakru dari Julai 2020 dan seterusnya,” katanya.

ABM mengingatkan semua pelanggan pinjaman sewa beli yang ingin mengambil moratorium untuk mengesahkan perkara sama dengan bank masing-masing selepas penerimaan komunikasi daripada bank mereka.

Katanya bank ahlinya akan berkomunikasi dengan pelanggan mereka yang terjejas mengenai prosedur yang tepat yang perlu mereka ikuti untuk mengambil moratorium, dan pilihan pembayaran ansuran untuk mereka selepas moratorium selama enam bulan berakhir.

“Komunikasi ini akan dilakukan melalui e-mel, surat, maklumat di laman web rasmi bank/platform media sosial, dan/atau melalui SMS/pemberitahuan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :