Keadaan aliran trafik menuju ke Plaza Tol Rawang Selatan terkawal ketika tinjauan hari keempat Pergerakan Rentas Negeri yang memohon melalui aplikasi Gerak Malaysia pada 10 MEI 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: PKPB disambung, tak boleh rentas negeri balik kampung

SHAH ALAM, 10 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan sehingga 12 Mei  akan disambung sehingga 9 Jun, kata perdana menteri

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PKPB yang bermula 4 Mei lalu akan disambung empat minggu lagi.

“Ini bermakna, semua peraturan dan tatacara operasi piawai (SOP) yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuat kuasa sehingga 9 Jun.

“Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor dibenarkan beroperasi dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya dalam perutusan khas perdana menteri hari ini.

Beliau berkata,  ada beberapa perayaan utama dalam tempoh itu yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” kata beliau.

Perdana menteri berkata ziarah menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

“Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” katanya.

PKPB bermula 4 Mei lepas menyaksikan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan untuk beroperasi semula.

Manakala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan selama 47 hari bermula 18 Mac bagi membendung penularan virus Covid-19 dan setelah melalui empat fasa dengan peraturan yang ketat dan menunjukkan kejayaan dalam memastikan jangkitan Covid-19 semakin berkurangan.

PKPB dilaksanakan pula dengan kelonggaran tertentu tetapi perlu mematuhi SOP Kementerian Kesihatan (KKM).


Pengarang :