AGENDANASIONAL

Sekolah swasta masih dilarang beroperasi – menteri kanan

SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan tidak membenarkan mana-mana sekolah dibuka termasuk sekolah milik swasta, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan siasatan akan dilakukan Kementerian Pendidikan jika terdapat laporan ada sekolah dibuka.

“Pendidikan termasuk dalam senarai sektor dilarang operasi sama ada sekolah rendah atau menengah kebangsaan mahupun sekolah swasta.

“Kalau ada Kementerian Pendidikan akan siasat, sekolah itu akan diarah tutup,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Selain itu kerajaan turut melarang pub dan kelab malam dibuka, pada masa sama pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan sekiranya ada pusat hiburan beroperasi

“Pub, kelab malam di bawah kategori pusat hiburan dan dalam senarai dilarang beroperasi, jadi tidak boleh buka, PBT boleh ambil tindakan untuk tutup pusat hiburan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri meminta semua pemimpin masyarakat dan sukarelawan membantu kerajaan memberi kesedaran kepada komuniti untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan peraturan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, golongan terbabit perlu berganding bahu memberi penjelasan kepada komuniti mengenai kepentingan mematuhi peraturan termaktub di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Diseru pemimpin masyarakat seperti penghulu, ketua kampung, pemimpin politik, imam, ketua agama, tok batin, tuai rumah, kapitan, ketua adat, ketua kaum serta pasukan sukarelawan untuk mendidik komuniti mematuhi SOP.

“Mereka juga perlu memainkan peranan pupuk kesedaran mengenai kepentingan Akta 342 serta beri penjelasan, penerangan jika gagal mematuhi SOP terutama dari segi tindakan dan penalti yang dikenakan,” katanya.


Pengarang :