BERITA UTAMAEKONOMIPBTPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor ubah suai PKP bersyarat, sediakan garis panduan ketat

SHAH ALAM, 3 MEI: Selangor mengubah suai garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memperketatkan kawalan susulan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi bermula esok, 4 Mei, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) adalah hasil runding cara melibatkan Majlis Keselamatan Negara Selangor, Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu.

“Semua sektor adalah ditegaskan untuk melaksanakan amalan penjagaan kesihatan yang baik seperti pemakaian topeng muka, amalan pencucian tangan yang kerap dan mengelakkan dari menyentuh muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keputusan itu terpakai kepada seluruh Selangor kecuali di zon merah Selayang Baru buat masa ini manakala bagi butiran lain adalah berdasarkan ketetapan dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara yang dikeluarkan terdahulu.

Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk melaksanakan PKPB dengan pertambahan perincian berikut:

1. Restoran, para penjaja dan peniaga berpremis dibenarkan untuk beroperasi mulai 4 Mei 2020 terhad kepada urusan bawa pulang (take away) dan penghantaran (delivery) dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

Manakala peniaga tiada berpremis termasuk penjaja tepi jalan dan kendera saji (food truck) hanya dibenarkan untuk beroperasi selepas 12 Mei 2020 bagi memastikan pihak PBT dan peniaga mempunyai cukup masa untuk mengatur persediaan untuk penjarakan sosial dan ‘contact tracing’.

Namun, pasar malam, pasar pagi, jualan karnival, bazar Ramadan dan Aidilfitiri tidak dibenarkan sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

2. Industri pembinaan dibenarkan beroperasi pada kadar maksimum tetapi syarikat harus menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak Covid-19 untuk mendapat kelulusan PBT masing-masing terlebih dahulu.

3. Bagi sektor sosial, orang awam dibenarkan untuk melakukan aktiviti senaman di kawasan lapang dan taman komuniti dengan mengamalkan penjarakan sosial. Kegiatan di taman-taman awam seperti Tasik Shah Alam, Taman Jaya dan Tasik Cempaka tidak dibenarkan.

Semua kemudahan rekreasi dan sukan dalam kawasan berbumbung / tertutup seperti kolam renang dan gimnasium masih ditutup.

Aktiviti hiking seperti di Bukit Gasing juga tidak dibenarkan. PBT akan mengeluarkan notis susulan senarai taman awam yang dilarang buat orang awam sewaktu PKPB ini.


Pengarang :