Notis penjarakan sosial diletakkan di tempat duduk tren Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang bagi mengawal penularan Covid-19 pada 5 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan hadkan jumlah penumpang pengangkutan awam

SHAH ALAM, 3 MEI: Jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam perlu dikurangkan separuh daripada kapasiti sebenar bagi mengelak sentuhan dan kesesakan.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata arahan tersebut bagi memastikan semua pengangkutan awam mematuhi garis panduan penjarakan sosial di dalam kenderaan yang ditetapkan kerajaan.

“Sebagai contoh, hanya 20 penumpang boleh menaiki satu bas yang mempunyai 40 kapasiti penumpang.

“Begitu juga Transit Aliran Massa (MRT) boleh ambil separuh penumpang berbanding biasa, malah tempat berdiri mesti ditanda (untuk penjarakan sosial),” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata anggota keselamatan seperti polis dan tentera akan ditugaskan membuat pemantauan terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di kawasan menunggu serta kemungkinan di dalam kenderaan pengangkutan awam.

“Mungkin akan ada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia berada di dalam MRT, ini antara perincian yang akan kita tentukan,” katanya.

Bagi kenderaan persendirian, Ismail Sabri berkata kerajaan membenarkan ia dinaiki sehingga empat orang, namun mesti daripada rumah yang sama.


Pengarang :