Foto yang dikongsi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj bagi menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan di hospital. Foto Facebook Selangor Royal Office.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor hargai pengorbanan petugas hadapan

SHAH ALAM, 19 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan di hospital yang berkorban masa dan tenaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.

Dalam titah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin itu baginda berkenan menyampaikan perutusan istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidiltifri kepada petugas hadapan berkenaan.

“Beta amat menghargai pengorbanan yang dilakukan doktor, jururawat serta kakitangan hospital khususnya dalam mendepani risiko merawat kes-kes jangkitan wabak berbahaya Covid-19 yang masih menular.

“Beta berdua sentiasa mendoakan agar anda semua terus dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk berkhidmat demi negara. Terima kasih dan selamat hari raya,” titah baginda melalui Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Untuk pertama kalinya, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Aidilfitri dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mengehadkan kunjungan 20 ahli keluarga sahaja pada satu masa sebagai usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Selain itu, hanya aktiviti rentas daerah sahaja dibenarkan manakala pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sepanjang hari raya yang bakal disambut pada 24 Mei ini .


Pengarang :