BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terima zakat niaga RM44.6 juta

SHAH ALAM, 13 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada 12 syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM44.6 juta di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Lembaga Tabung Haji diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Nik Mohd Haasyudeen mendahului senarai syarikat korporat pertama dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 sebanyak RM24.1 juta.

Diikuti Central Sugars Refinery Sdn Bhd menerusi Pengerusi Eksekutif, Datuk Bakry Hamzah dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM5.11 juta.

Manakala, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor pula menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM2.66 juta diwakili CEO, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain, diikuti Pemerbadanan Menteri Besar Selangor diwakili Pemangku CEO, Soffan Affendi Aminudin menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM2.45 juta.

Kumpulan Worldwide Holdings Berhad turut menunaikan sejumlah RM2.01 juta zakat perniagaan tahun 2019 menerusi CEO Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria diikuti Ekuiti Nasional Berhad diwakili CEO, Tuan Syed Yasir Arafat Syed Abdul Kadir menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.7 juta.

Sementara itu, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.52 juta bagi tahun kewangan 2019 disampaikan oleh Pengerusinya, Dato’ Nor Azmie Diron, diikuti Malaysian Allied Health Sciences Academy Sdn Bhd diwakili Pengerusi Eksekutif, Profesor Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.32 juta.

Bank Islam Malaysia Berhad pula menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.21 juta diserahkan Pengerusi BIMB Holdings, Tan Sri Ambrin Buang.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor diwakili Pengurus Besar Kumpulan, Tamby Omar Mohammed dan Sime Darby Property Berhad mewakilkan Pengarahnya, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah AlHaj masing-masing menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1 juta.

Kumpulan Semesta Sdn Bhd diwakili CEO, Abdul Rahman Ishak menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah M504,526.40.

Upacara penyerahan zakat turut diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.


Pengarang :