EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman bersama penerima pada Program Sumbangan Raya kepada Bekas Atlet dan Atlet Para sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lobi MSN Selangor Seksyen 7, Shah Alam pada 21 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Terlepas aksi di Filipina, atlet para negara buru pingat di Vietnam

SHAH ALAM, 26 MEI: Atlet para negara tekad memburu pingat dalam Sukan Para Asia (APG) di Vietnam tahun depan selepas hampa berikutan pembatalan kejohanan itu akibat wabak Covid-19.

Jaguh olahraga, Muhammad Amirul Alif Abdul Raof, 25, mengakui temasya antara 18 hingga 24 Januari lalu yang dijadual berlangsung di Filipina sedikit sebanyak mengecewakan mereka.

“Biarpun terpaksa akur tiada peluang beraksi di sana (Filipina) tahun ini tetapi ia sama sekali tidak mematahkan semangat untuk terus memperbaiki kelemahan yang ada sebelum bersaing di Vietnam.

“Justeru, sasaran harus diletakkkan untuk menyumbang pingat buat kem olahraga para negara yang menjadi buruan misi saya,” kata anak jati Klang kepada SelangorKini.

Muhammad Amirul Alif yang menderita kecederaan saraf tunjang sejak berusia empat tahun sentiasa melakukan pelbagai latihan ringan di rumah setiap hari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP).

Meskipun tiada latihan lengkap di trek, Olahragawan Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 Perak itu mahu memastikan staminanya kekal konsisten.

“Mereka (jurulatih) bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) yang menunjukkan teknik latihan di rumah bersesuaian dengan atlet olahraga,” katanya.

Atlet tenpin boling, Rosheedy Faizal Roslan, 34, mengakui beliau tidak sabar untuk kembali berlatih selepas hampir tiga bulan berehat ekoran pandemik Covid-19.

Pemenang dua pingat emas temasya Para Sukma di Perak dua tahun lalu menunggu keputusan Majlis Sukan Negara berkaitan program latihan berikutan majlis itu mahu memastikan keselamatan atlet.

Atlet kelahiran Cheras mahu memastikan persiapan rapi dibuat dalam menggalas cabaran negara pada temasya terbesar Asia Tenggara di Vietnam yang berbaki kurang setahun.

“Misi saya untuk meraih pingat pada saingan belum padam walaupun hasrat meraihnya di Filipina tidak. Insya-Allah saya akan cuba di Vietnam tahun depan,” katanya.


Pengarang :