Petugas Kementerian Kesihatan kelihatan membuat bancian serta mengarahkan setiap penghuni rumah perlu membuat saringan Covid-19 setelah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wabak dapat dikawal jika ramai individu disaring – MB

SHAH ALAM, 11 MEI: Dato’ Menteri Besar optimis penularan Covid-19 di negeri ini dapat dikawal sebaiknya jika lebih ramai individu dapat dikesan melalui saringan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dato’ Seri Amirudin Shari menjangkakan kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat untuk tempoh beberapa hari akan datang susulan saringan pengesanan wabak itu di sekitar Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya yang bermula semalam.

“Alhamdulillah, trend menurun dicatatkan (hari ini), namun dengan saringan di PKPD sekitar Pasar Jalan Othman PJ, dijangka ada sedikit kenaikan beberapa hari mendatang.

“Lebih ramai dikesan lebih baik untuk kawal pandemik ini. Kekalkan penjarakan sosial dan kaedah kesihatan untuk elak Covid-19,” tulisnya di Twitter.

Setakat 12 tengah hari tadi, Selangor hanya merekodkan tiga kes baharu Covid-19 berbanding lapan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 1,607 kes.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan ujian Covid-19 terhadap penduduk sekitar Pasar Jalan Othman.

Kawasan berkenaan dikenakan PKPD sehingga 23 Mei selepas KKM mengesahkan terdapat 26 kes positif wabak itu yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit.

Difahamkan, terdapat kira-kira 2,600 penduduk termasuk warga asing akan menjalani saringan itu yang dijangka mengambil masa lima hari sehingga Khamis ini.

Tiga pusat saringan dibuka di tiga zon PKPD berkenaan iaitu Zon A di medan selera manakala Zon B di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chen Moh dan Zon C bersebelahan terminal bas.


Pengarang :