AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSUKANKINI

Bangunkan Selangor cara Liverpool, cipta mentaliti menang

SHAH ALAM, 27 JUN: Kejayaan Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam menjadi inspirasi kepada Dato’ Menteri Besar untuk membawa Selangor ke arah lebih baik.

Menulis di Twitter, Dato’ Seri Amirudin Shari kagum dengan kepimpinan pengurus Jurgen Klopp yang merangkul kejuaraan kali ke-19 dalam liga berkenaan sekali gus mengakhiri penantian tiga dekad.

“Saya harap dapat menerapkan pembelajaran penting bagaimana FSG (Fenway Sports Group) dan Klopp mencipta pasukan dan mentaliti menang serta menggunakannya untuk membantu saya menjadikan Selangor lebih baik kepada semua.

“Kita adalah satu pasukan. Bersatu kita tak terkalahkan. Marilah kita bersama membangun bangsa berbudaya serta negeri yang makmur sentosa,” tulisnya dengan tanda pagar YNWA (You’ll Never Walk Alone) dan Selangor Maju Bersama malam tadi.

Amirudin turut memuji kesungguhan The Reds, nama jolokan Liverpool, mencipta pelbagai kejayaan meskipun berdepan situasi ‘menyakitkan’ dalam era EPL.

“Penantian itu amat menyakitkan tetapi bermakna bagi kita semua. Tahniah Liverpool FC. Terima kasih Klopp dan pasukan, terima kasih pemain, terima kasih semua orang di kelab, terima kasih FSG, terima kasih bandar Liverpool dan terima kasih kepada semua yang selalu percaya,” tulisnya lagi.

Pemenang enam kali kejohanan Liga Juara-Juara Eropah dinobat sebagai juara tanpa menendang bola selepas Chelsea menewaskan Manchester City 2-1 awal pagi semalam. Sebelum kejohanan terhenti akibat Covid-19, Liverpool memiliki kelebihan 25 mata berbanding  pasukan di tempat kedua.


Pengarang :