AGENDAEKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Pasaran getah Malaysia dijangka mencatat dagangan kecil minggu depan berikutan kekurangan pemangkin untuk memacu permintaan di tengah-tengah penularan Covid-19 yang terus ketara di peringkat global.

Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Dennis Low berkata minat terhadap SMR 20 yang terhad dicatatkan pada minggu lepas dan dijangka berterusan sehingga minggu ini dengan kecenderungan kenaikan harga yang kecil berbanding paras penutup RM489.00 sekilogram (kg) pada minggu lepas.

“Bagi susu getah pukal, harganya dijangkakan kekal pada paras semasa berikutan penawaran dan permintaannya yang kekal stabil,” katanya kepada Bernama.

Low berkata pengguna utama getah itu merupakan kalangan pengeluar sarung tangan getah yang terus membeli pada kadar yang stabil.

Pada minggu lepas, harga susu getah pukal ditutup pada RM485.00 sekilogram dan kekal pada paras hampir sama minggu ini, katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah kebanyakannya diniagakan hampir bercampur-campur berikutan penyusutan pasaran hadapan getah serantau serta turut dipengaruhi oleh penurunan harga minyak dan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

Selain itu, bagi asas Jumaat hingga Jumaat, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 naik 8.5 sen kepada 489 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan setengah sen kepada 485.50 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 naik 11.5 sen kepada 494 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut tiga sen kepada 486 sen sekilogram.

-BERNAMA


Pengarang :