Selangorkini
Guru SMK Engku Husain Rohana Asha’ari (kiri) bersama Siti Fatimah Mahmud (kanan) dan Manisa Rahmat (tengah) menyusun meja mengikut garis panduan bagi persediaan pembukaan semula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Himpunan, aktiviti kokurikulum tidak dibenar – JPM

SHAH ALAM, 5 JUN: Semua aktiviti dibenarkan apabila sesi persekolahan dibuka semula nanti, kecuali program membabitkan himpunan ramai guru dan murid, kokurikulum bersemuka serta sukan.

Tatacara operasi piawai (SOP) Pembukaan Semula Ekonomi bagi sektor pendidikan turut menetapkan individu dengan bacaan suhu badan lebih 37.5 Celsius serta menunjukkan simptom seperti sakit tekak, batuk dan susah bernafas tidak dibenarkan masuk ke sekolah, lapor Berita Harian.

Ia juga memaklumkan, rekod suhu badan guru, murid dan warga sekolah serta pekerja kontrak akan diambil di pintu pagar atau tapak perhimpunan sekolah setiap hari.

“Setiap individu yang berada di sekolah perlu mematuhi penjarakan sosial satu meter, memastikan murid, guru dan warga sekolah kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman,” menurut makluman yang dikongsi Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

Garis panduan itu bagi memastikan semua murid, guru dan warga sekolah melalui saringan kesihatan dilaksanakan di lokasi ditetapkan sebelum sesi persekolahan bermula.

Sesi persekolahan yang akan dibenarkan beroperasi kelak hanya membabitkan kelas peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Selain itu, pelawat yang mahu mengunjungi sekolah juga perlu memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera ke dalam telefon bimbit masing-masing untuk rekod pengesanan kontak rapat.

Setakat ini sesi persekolahan masih belum dibuka namun kakitangan yang mengendalikan hal ehwal kewangan, keselamatan dan kebersihan dibenarkan hadir bertugas kerana termasuk dalam senarai perkhidmatan penting dengan jumlah minimum.


Pengarang :