PENDAPATRENCANA

Titik permulaan ekonomi inklusif, berdaya tahan

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Langkah pertama bagi menyelesaikan masalah adalah dengan menyedari bahawa ia wujud – pandemik, impak ekonomi yang menjejaskan dan keperluan bagi kerajaan untuk menanganinya daripada segenap sudut yang mungkin bagi membina semula ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan.

Esok (Jumaat), Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mengumumkan Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) jangka pendek yang menumpukan kepada tiga matlamat utama: memperkasakan rakyat, merancakkan perniagaan dan merangsang ekonomi, yang akan membawa kepada landasan pemulihan dan pertumbuhan.

Sebelum ini, kerajaan melakukan apa yang perlu untuk membendung penularan virus membawa maut itu dan menyediakan sokongan kepada ekonomi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM260 bilion.

Ia berjaya mengekang penularannya apabila kes jangkitan kebanyakannya kekal dalam dua angka sekarang, membina daya tahan menerusi pakej rangsangan dan membuka semula ekonomi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan 70 peratus daripada tenaga kerja telah kembali bekerja.

Di bawah pakej rangsangan itu, menerusi Bantuan Prihatin Nasional, moratorium pinjaman, subsidi upah serta jaminan makanan, sejumlah RM45.1 bilion telah diagihkan dan RM14 bilion dibelanjakan bagi rakyat.

Seorang wanita memakai pelitup muka sebagai perlindungan diri dari penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan di sebuah gedung tekstil di Kuala Lumpur pada 1 Jun 2020. Foto BERNAMA

Bagaimanapun, sektor seperti pelancongan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pengangkutan masih terjejas, yang memerlukan bantuan berterusan daripada kerajaan bagi proses pemulihan.

Kerajaan menyedari bahawa mengurangkan jumlah kes dan pemberian jangka pendek semata-mata tidak mencukupi; jaminan pekerjaan dan beroperasi dengan selamat dalam norma baharu merupakan antara jaminan yang rakyat harapkan daripada kerajaan sekarang.

Pendek kata – pengangguran adalah isu utama dalam apa juga krisis dan menurut sumber industri yang menghadiri pelbagai perbincangan dengan Kementerian Kewangan, kerajaan memberikan keutamaan utamanya dalam memastikan pekerjaan terus dikekalkan, terutamanya dalam melatih dan melatih semula pekerja.

Sementara itu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sejak beberapa minggu lepas telah bertemu dengan hampir kesemua sektor termasuk seni dan budaya serta pendidikan bagi menilai keperluan yang diperlukan dan langkah-langkah yang diharapkan daripada kerajaan di bawah ERP jangka pendek.

“Antara topik yang dibincangkan adalah mengenai perlindungan pekerja, pengangguran, perkara yang berkaitan dengan gaji, kemahiran dan latihan semula. Kerajaan akan meneruskan usaha kami dalam menjamin kebajikan tenaga kerja melalui ERP,” katanya menerusi laman twitter beliau, @tzafrul_aziz.

Kadar pengangguran di Malaysia berjumlah 3.5 peratus pada suku pertama 2020, masih rendah berbanding dengan 5.3 peratus di Filipina, New Zealand (4.2 peratus) dan Sepanyol (14.41 peratus).

Pengangguran Malaysia berada pada 3.3 peratus semasa suku keempat 2019.

Dalam pengumuman esok yang akan disiarkan secara langsung di Bernama TV, kerajaan juga dijangka mempelbagaikan beberapa inisiatif bagi menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia, memudahkan urusan perniagaan dan yang paling penting, memperkemaskan lagi proses sedia ada.

Banyak perniagaan sedang berdepan dengan isu aliran tunai, perkara ini juga dijangka akan diberi pertimbangan oleh kerajaan dalam ERP, khususnya bagi membantu PKS.

Industri pembinaan, hartanah dan automotif juga akan diberi keutamaan, memandangkan kepentingannya dalam membina keyakinan pengguna serta pelabur ke arah meletakkan kembali ekonomi pada landasannya.

Dunia kini berubah ke arah budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pendigitalan pula merupakan bidang baharu yang mendapat banyak perhatian baru-baru ini dan kepentingannya terbukti bagi membolehkan perniagaan terus beroperasi selepas berakhirnya pandemik Covid-19, oleh itu, beberapa inisiatif baharu turut dijangka diberikan terutama kepada PKS untuk mempercepat transformasi perniagaan.

Selain memenuhi keperluan bagi peringkat makro, kerajaan juga akan menyediakan inisiatif yang akan membantu golongan wanita, keluarga, orang kurang upaya serta penjagaan kanak-kanak dalam norma baharu.

Daripada kebanyakan inisiatif itu, perkongsian awam swasta (PPP) dijangka memainkan peranan utama dalam membina daya tahan negara dan mengekalkan pertumbuhan.

Walaupun peruntukan kerajaan yang akan diumumkan esok serta impaknya kepada defisit belanjawan masih belum diketahui, ini adalah waktunya untuk belanjawan pengembangan di tengah-tengah senario ekonomi global.

Malaysia mencatatkan defisit perdagangannya pertama pada Oktober 2007 berikutan eksport yang menguncup lebih cepat berbanding import, dan ia adalah petunjuk jelas kepada keadaan suram dan impak daripada koronavirus (Covid-19) yang merencatkan ekonomi.

Negara perdagangan – Malaysia merekodkan lebihan dagangan selama 269 bulan berturut-turut.

Kemerosotan itu bukan sahaja membabitkan Malaysia atau rantau ini, malah kepada ekonomi global di mana menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ia akan menguncup sehingga 3.3 peratus pada tahun ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi menyusut sehingga dua peratus atau naik sedikit sebanyak 0.5 peratus tahun ini, manakala beberapa ahli ekonomi menjangkakan kemerosotan sehingga empat peratus.

Sebahagian daripada pemulihan itu dijangka dapat dilihat pada 2021 dengan pertumbuhan global mencecah 5.8 peratus, menurut IMF, namun untuk menjadikan Malaysia sebagai sebahagian daripada pertumbuhan ini, ia kini perlu melaksanakan semua langkah dan kekal di landasan untuk mengharunginya.

ERP Jangka Pendek adalah fasa keempat daripada enam fasa usaha Malaysia iaitu Resolve (ketegasan), Resilience (ketahanan), Restart (pembukaan semula), Recovery (pemulihan), Revitalise (merancakkan semula) dan Reform (6R) bagi menangani isu-isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Fasa seterusnya iaitu Revitalise (merancakkan semula) dijangka terkandung dalam Belanjawan 2021.

-BERNAMA


Pengarang :