Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melakukan kerja-kerja memadam mural dan potret lukisan pemimpin negara yang diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 hari ini. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

Conteng mural: MBSA buat laporan polis, cat semula dinding bangunan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Satu laporan polis dibuat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini susulan kejadian vandalisme membabitkan lukisan mural pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata laporan dibuat jam 11 pagi tadi di Balai Polis Seksyen 6 untuk tindakan lanjut.

“MBSA kesal kerana mural tersebut diabadikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan mereka yang bekerja keras menangani wabak Covid-19.

“Laporan polis dibuat pagi tadi, kami turut mengecat semula bangunan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mural tersebut memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua pengarah kesihatan.

Turut dipaparkan dalam barisan tersebut ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan laporan dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 504/427 Kanun Keseksaaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh hubungi Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399,” katanya.


Pengarang :