Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Mohamad Zain A Hamid. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Ingkar arahan, MPKL potong bekalan utiliti kilang haram

SHAH ALAM, 1 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bertindak memotong bekalan air dan elektrik sebuah kilang haram memproses sisa aluminium berikutan ingkar arahan henti operasi.

Yang Dipertuanya Mohamad Zain A Hamid berkata tindakan pemotongan bekalan utiliti itu dilaksanakan bersama Jabatan Alam Sekitar, polis, Pengurusan Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad.

“Kita mendapati kilang itu melakukan dua kesalahan iaitu mendirikan struktur bangunan besi tanpa kelulusan bertulis dan menjalankan urus niaga tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kesalahan pertama, beliau berkata premis itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70 (13) (C) Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 manakala Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007 (kesalahan kedua).

Katanya, satu notis pemberitahuan UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL) 2007 (4) juga dikeluarkan.

“MPKL akan sentiasa memantau dan menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan Kuala Langat bebas daripada aktiviti kilang haram.

“Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik gagal mematuhi peraturan sedia ada. Semua pengusaha kilang diingatkan agar mendapatkan lesen perniagaan terlebih dahulu sebelum menjalankan perusahaan,” katanya.


Pengarang :