Pelajar melakukan pemeriksaan suhu badan dan sanitasi tangan di depan pintu sekolah sebagai salah satu tatacara operasi piawai (SOP) di SMK Jenjarom, Kuala Langat pada 24 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sekolah dibuka berperingkat mulai 15 Julai

SHAH ALAM, 1 JULAI: Pembukaan penuh sekolah untuk pelajar bukan kelas peperiksaan awam dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Julai ini, maklum menteri kanan (kluster pendidikan).

Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata keputusan tersebut selepas mengambil kira saranan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan berdasarkan situasi semasa wabak Covid-19.

“Pelajar tingkatan satu hingga empat, kelas peralihan dan murid tahun lima hingga enam kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini manakala murid tahun satu hingga empat pada 22 Julai.

“Tarikh ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata semua institusi pendidikan swasta berdaftar dengan KPM boleh dibuka semula pada 15 Julai manakala sekolah tidak berdaftar turut disarankan mengikut tarikh tersebut.

“Pusat tuisyen, pusat bahasa dan pusat perkembangan juga boleh dibuka semula,” katanya.

Dr Mohd Radzi berkata, kementerian juga mengenal pasti tiga model pembukaan penuh sekolah iaitu model satu sesi, dua sesi dan penggiliran mengikut kapasiti yang sesuai untuk melakukan penjarakan sosial di dalam kelas.

Katanya, senarai sekolah mengikut model akan dimaklumkan KPM selewat-lewatnya seminggu sebelum ia dibuka semula sepenuhnya.

Beliau menjelaskan bagi model penggiliran untuk sekolah menengah, pelajar tingkatan lima dan enam perlu hadir ke sekolah setiap hari manakala kehadiran pelajar tingkatan satu hingga empat perlu dibuat secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.

“Bagi penggiliran murid sekolah rendah tahun satu hingga enam pula, mereka boleh hadir secara bergilir-gilir mengikut kelas atau tahap manakala kesesuaiannya ditentukan pihak sekolah.

“Untuk model penggiliran ini, kaedah pembelajaran murid adalah secara ‘hybrid’, iaitu secara bersemuka semasa hari persekolahan dan secara pembelajaran di rumah untuk hari tidak dijadualkan berada di sekolah manakala waktu bekerja guru juga fleksibel bagi sekolah beroperasi selama dua sesi,” katanya.

KPM sebelum ini membenarkan sesi persekolahan dibuka semula pada 24 Jun lalu membabitkan pelajar kelas peperiksaan awam dengan purata kehadiran di seluruh negara adalah 92.4 peratus.


Pengarang :