Tinjauan di sekitar ibu kota pada 9 Jun 2020 menunjukkan orang ramai mengenakan pelitup muka ketika negara berada pada fasa pemulihan akibat penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jangan ambil mudah ancaman Covid-19, disiplin ikut norma baharu

SHAH ALAM, 21 JULAI: Rakyat Selangor digesa terus peka dan berdisiplin mematuhi norma baharu kerana negeri ini pernah mencatatkan kes tertinggi jangkitan Covid-19.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata kebebasan dinikmati hari ini hasil pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mencegah penularan wabak.

“STFC memandang serius laporan ketidakpatuhan masyarakat. Jangan ambil mudah, sentiasa berdisiplin dan saling berpesan antara satu sama lain. Jangan disebabkan anda, negara lumpuh semula,” tulisnya di Facebook malam ini.

Selangor mencatatkan dua kes baharu wabak hari ini, turun berbanding semalam. Keseluruhannya negeri itu merekodkan 2,109 kes dan 14 daripadanya aktif.

Sepang mencatatkan 12 kes aktif dan masing-masing satu di Gombak serta Hulu Langat. Tiga daerah tersebut berada dalam zon kuning.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan peningkatan bilangan kes harian pandemik itu membimbangkan selain menunjukkan masyarakat mula alpa dan leka serta tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.


Pengarang :