Saipolyazan M.Yusop (dua, kiri) bersama Dato’ Paduka Emeritus Prof Dr Mohamad Awang (dua, kanan) ketika pelancaran sistem e-Dialisis Lembaga Zakat Selangor di Hotel Acapella, Shah Alam pada 21 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Zakat Selangor belanja RM60 juta biaya rawatan dialisis asnaf

SHAH ALAM, 21 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM60 juta tahun ini bagi membiayai rawatan dialisis pesakit asnaf, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Saipolyazan Mat Yusop berkata seramai 2,498 pesakit asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin menerima manfaat tersebut sehingga Jun lalu.

“Setiap bulan terdapat tambahan pesakit antara 30 hingga 40 orang. Dialisis diberi keutamaan saban tahun dan pada 2019, sebanyak RM30.2 juta diperuntukkan untuk Bantuan Hutang Rawatan Dialisis Asnaf Gharimin,” katanya pada Majlis Pelancaran Sistem e-Dialisis di Hotel Acapella di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS Dato’ Paduka Emeritus Prof Dr Mohamad Awang dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Abdul Basith Hamid.

Selain dialisis, sembilan bantuan utama LZS ialah:

1. Kewangan dan bulanan – RM186.1 juta
2. Pembinaan, baik pulih dan sewa rumah – RM93.5 juta
3. Keperluan pendidikan dan yuran – RM76.1 juta
4. Perubatan – RM49.4 juta
5. Elaun guru kelas fardu ain dan kelas agama – RM28.8 juta
6. Pelajaran, biasiswa, dermasiswa mualaf dan sumbangan orang kelainan upaya – RM61.2 juta
7. Pengurusan rumah perlindungan asnaf – RM17.3 juta
8. Peralatan masjid dan surau serta sumbangan peralatan dan baik pulih institusi agama – RM12.5 juta
9. Bantuan dermasiswa hufaz Quran – RM9.3 juta

 


Pengarang :