AGENDANASIONAL

Jangkitan hepatitis meningkat, masyarakat kini sedar manfaat rawatan awal

SHAH ALAM, 28 JULAI: Timbul kesedaran akan kepentingan menjalani ujian saringan dan rawatan awal dalam kalangan orang ramai selepas jangkitan penyakit keradangan hati, hepatitis di Malaysia meningkat sepanjang 10 tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hepatitis B menunjukkan peningkatan ketara selepas mencatatkan 15.3 daripada 100,000 penduduk pada tahun lalu berbanding 2.1 pada 2009.

“Ia diikuti hepatitis C sebanyak 10.6 (daripada 100,000) tahun lalu berbanding 3.7 pada 2009. Hepatitis A masih rendah meskipun mencatatkan peningkatan dari 0.1 penduduk kepada 0.3 penduduk dalam tempoh sama,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Hepatitis Sedunia 2020 yang disambut pada 28 Julai setiap tahun.

Sambutan tahun ini bertemakan MY Missing Millions bagi menunjukkan betapa pentingnya mengesan seramai mungkin individu dijangkiti hepatitis sekali gus membolehkan rawatan segera.

Dr Noor Hisham berkata langkah pencegahan terbaik hepatitis A adalah mengamalkan penjagaan kebersihan serta banyak minum air terawat atau dimasak ketika berada di kawasan berisiko seperti tempat pengurusan najis dan pelupusan sampah.

“Bagi mengelakkan jangkitan hepatitis B dan C, masyarakat tidak boleh berkongsi alat kebersihan diri seperti pemotong kuku, berus gigi dan pisau cukur kerana ia boleh menyebabkan luka hingga virus menular. Pesakit tidak dibenarkan menderma darah untuk elak jangkitan selain amalan hubungan seks secara selamat,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak masing-masing mendapat imunisasi hepatitis B lengkap mengikut jadual Program Imunisasi Kebangsaan.

“Pemberian vaksin hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas bayi lahir adalah 95 peratus efektif bagi mencegah dalam tempoh perinatal,” katanya.


Pengarang :