Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sembah maklum situasi semasa pandemik Covid-19 pada 28 Julai 2020. Foto: Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor hargai pengorbanan petugas barisan hadapan – Noor Hisham

SHAH ALAM, 28 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan penghargaan buat petugas barisan hadapan yang berkorban mengawal keselamatan dan kesihatan negara, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata penghargaan itu dizahirkan ketika pertemuannya dengan Sultan Selangor, hari ini.

“Sayu kelihatan baginda Sultan ketika menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas di barisan hadapan yang bersiap siaga mengawal keselamatan dan kesihatan negara.

“Titah-titah semangat daripada Tuanku sememangnya menyuntik semangat dan kekuatan khususnya kepada seluruh anggota petugas kesihatan dalam usaha menangani wabak Covid-19 yang sedang melanda negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Noor Hisham berkata beliau dan kakitangan KKM berterima kasih atas keprihatinan Tuanku yang sentiasa mengikuti perkembangan pandemik Covid-19.

“Dengan sokongan, semangat dan iringan doa daripada Tuanku, segala cabaran dan dugaan yang sedang dihadapi akan dipermudahkan.

“Seluruh warga KKM juga akan terus mendoakan baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin terus dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan, seterusnya kekal bertakhta dan berdaulat atas singgahsana Kerajaan Selangor. Menjunjung kasih Tuanku,” katanya.


Pengarang :