AGENDANASIONAL

KEADILAN desak Saifuddin letak jawatan, gagal tangani tiga isu

SHAH ALAM, 23 JULAI: KEADILAN menggesa Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan susulan kegagalannya menangani tiga isu berasingan sepanjang bergelar menteri komunikasi dan multimedia.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata terbaharu isu permohonan lesen Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menerbit filem di media sosial hari ini yang turut mendapat kritikan warga maya.

“Sebenarnya beliau sendiri mulakan pagi tadi di Dewan Rakyat. Jika soalan saya dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dijawab dengan jelas isu itu tidak berpanjangan.

“Saya rasa kenyataan terbaharu Saifuddin hanya sebagai jalan keluar meredakan kemarahan warga maya walaupun tidak memberi penjelasan berkenaan lesen Finas tidak diperlukan untuk pengguna media sosial TikTok, YouTube, dan sebagainya,” kata Pengarah Komunikasi KEADILAN dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi di Dewan Rakyat, Saifuddin memaklumkan penerbit filem sama ada agensi media arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran Finas.

Bagaimanapun selepas mendapat kritikan, beliau mengeluarkan kenyataan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta Finas) [Akta 244] perlu ditambah baik supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.

Jurucakap Komunikasi, Seni dan Budaya KEADILAN berkata sepanjang bergelar menteri sejak Mac lalu, dua lagi tindakan salah dilakukan Saifuddin iaitu isu penarikan balik pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia serta pembatalan penggunaan spektrum dalam jalur frekuensi 700MHz, 900MHz dan 2600MHz atau spektrum 5G.


Pengarang :