Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 21 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes baharu Covid-19 kekal dua angka empat hari berturut-turut

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kes baharu Covid-19 kekal dua digit selama empat hari berturut-turut selepas mencatatkan 16 kes hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata lapan penularan tempatan membabitkan tujuh warganegara yang dikesan di Sarawak manakala satu lagi warga asing iaitu kes saringan ke luar negara.

“Lapan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara pula membabitkan empat warganegara dan empat warga asing yang masuk atas urusan kerja.

“Kes meliputi dua dari India dan Rusia serta masing-masing satu dari Arab Saudi, China, Indonesia dan Korea,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keseluruhannya sebanyak 8,831 kes dilaporkan dengan kes aktif ialah 142. Lima pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan seorang memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata empat pesakit lagi berjaya sembuh menjadikan jumlah pesakit pulih sebanyak 8,566 orang iaitu 96.9 peratus daripada keseluruhan kes.

“Tiada kes kematian baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kekal 123 kes,” katanya lagi.


Pengarang :