Darah palsu dilihat dalam tiub ujian dengan label Covid-19 dalam ilustrasi yang diambil pada 17 Mac 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Kes Covid-19 di Amerika Latin lepasi 3.5 juta

BOGOTA, 16 JULAI: Kes Covid-19 di Amerika Latin terus melonjak, setakat ini sudah melebihi 3.5 juta dan 150,000 kematian dicatatkan, lapor agensi berita Anadolu.

Rantau itu melaporkan hampir 65,000 kes harian dan sejuta kes jangkitan dalam masa lebih dua minggu.

Brazil melaporkan hampir dua juta jangkitan, Mexico 311,000 diikuti Peru dan Chile.

Keempat-empat negara itu tersenarai di antara 10 negara paling teruk terjejas di dunia.

Presiden Jair Bolsonaro diuji positif sekali lagi, lapor media pada Rabu.

Beliau pertama kali mengumumkan dijangkiti virus itu pada 7 Julai. Beliau dilaporkan mengambil hydroxychloroquine, ubat yang belum terbukti berkesan melawan virus maut itu.

Bolsonaro memberitahu wartawan dalam masa beberapa hari lagi beliau akan menjalani saringan sekali lagi.

Brazil mencatatkan 1,233 lagi kematian dan 39,924 kes baharu, menurut pegawai kesihatan.

Di Mexico, anggota keluarga kesatuan kakitangan awam Mexico City meninggal dunia akibat Covid-19 selepas mendapat jangkitan dalam kalangan saudara.

“Ada yang mendapat akses kepada saringan Covid-19 dan ada yang tidak,” kata Datuk Bandar Claudia Sheinbaum pada sidang media.

Kes di Mexico melepasi angka 311,000 dengan 36,000 kematian.

– BERNAMA


Pengarang :