Dato’ Seri Amirudin Shari memberi ucapan ringkas sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa Bukit Kapar, Klang pada 17 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kualiti bahas bezakan Selangor dengan negeri lain

KAPAR, 17 JULAI: Kualiti dan kematangan wakil rakyat berbahas melancarkan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) selama empat hari mulai 13 Julai lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sikap itu boleh dicontohi dewan negeri lain meskipun wakil rakyat bertikam lidah dan bercanggah pendapat.

“Dewan lain ada perkataan seksisme (diskriminasi jantina), cercaan atau celaan yang ketara.

“Walaupun (DNS) ada perbezaan dan kadang-kadang tinggi suara tetapi saya berpuas hati dengan butiran perbahasan membina daripada kerajaan dan pembangkang,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Kapar hari ini.

Kematangan tersebut dibuktikan apabila usul pelan pemulihan ekonomi pada Isnin lalu diluluskan sebulat suara semua wakil rakyat termasuk pembangkang.

Dato’ Menteri Besar membentang pelan pemulihan yang menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.

Keseluruhan nilai ekonomi rancangan tersebut adalah RM55.85 bilion. Sehingga kini, sebanyak RM260.14 juta dibelanjakan yang memberi manfaat kepada lebih separuh penduduk Selangor.


Pengarang :