Rodziah Ismail (tengah) melihat penggunaan sistem biometrik ketika melawat pasar pagi MBPJ di Medan @ SS2, Petaling Jaya pada 3 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA, MPSJ dan MPS kaji pelaksanaan sistem biometrik

SHAH ALAM, 8 JULAI: Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dalam kajian melaksanakan sistem biometrik di pasar awam untuk mengesan penyalahgunaan lesen perniagaan.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam berkata kaedah tersebut dapat membantu perkemaskan lagi perkhidmatan pelesenan.

“Kita masih berbincang untuk menggunakan sistem tersebut. Kita harap sistem itu dapat membantu perkemaskan lagi kecekapan untuk kesan salah guna lesen perniagaan,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya pula memaklumkan pihaknya bercadang menggunakan sistem tersebut untuk memudahkan peniaga.

“Buat masa ini kita meletakkan syarat pemilik lesen sahaja dibenarkan perbaharui lesen. Kaedah ini juga menetapkan peniaga dan pembantu warga asing tidak dibenarkan menjalankan perniagaan,” kata Azfarizal Abdul Rashid.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Selayang, Ahmad Fauzi Ishak menjelaskan pihaknya mengesan peniaga melanggar undang-undang dengan cara pemantauan dan penguatkuasaan sahaja dan sedang mengkaji pengunaan biometrik tersebut.

Sehingga 3 Julai lalu hanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya menggunakan sistem biometrik di pasar awam.

Selangor menyasarkan penggunaan sistem itu di pasar awam seluruh negeri menjelang 2022 bagi mengekang penyalahgunaan lesen terutama dalam kalangan warga asing.


Pengarang :