Kerajaan Negeri akan mengedarkan pelitup muka guna semula kepada pelajar dari keluarga B40.
PILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pelajar B40 bakal terima pelitup muka guna semula

SHAH ALAM, 29 JULAI: Pelitup muka guna semula akan diedarkan kepada pelajar sekolah dengan keutamaan kepada mereka dari keluarga berpendapatan rendah (B40).

Dato’ Menteri Besar berkata langkah tersebut bagi mengekang penularan Covid-19 kerana golongan itu terikat dengan penjarakan sosial ketika di sekolah tetapi bebas di luar sekolah.

“Mesyuarat EXCO hari ini memutuskan untuk menyediakan pelitup muka yang boleh dibasuh dan diguna semula. Kita akan cuba menyediakannya terutama untuk mereka yang sangat memerlukan.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan lakukan selepas 1 Ogos kerana prosesnya agak panjang dan belum dapat angka sebenar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menunggu maklum balas dari Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi menentukan jumlah pelajar yang layak.

“Saya jangka lebih sejuta pelajar, itu anggaran kita tetapi perlu dapatkan (butiran) daripada kedua-dua jabatan kerana mereka menyediakan (kemudahan) persekolahan untuk anak-anak khususnya B40,” katanya.

Amirudin menambah Selangor sebelum ini mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei.

Pada 23 Julai lalu, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan tempat sesak bermula 1 Ogos dalam tempoh PKP Pemulihan.


Pengarang :