Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada sidang media E-Bazar bersama Shopee di Bilik Gerakan Tingkat 22 SUK, Shah Alam pada 29 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor e-Bazar Raya capai 341.5 juta, jauh langkaui sasaran RM8 juta

SHAH ALAM, 29 JULAI: Program e-Bazar Raya Selangor bersama Shopee mencatatkan pulangan RM341.5 juta, jauh melangkaui sasaran awal RM8 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata angka itu berdasarkan kesan riak (ripple effect) melalui peruntukan baucar RM1 juta kepada pelanggan platform e-dagang itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kesan riak sebanyak 341 peratus merangkumi ekonomi, sosioekonomi dan penjenamaan produk perniagaan.

“Angka ini jauh lebih tinggi berbanding sasaran awal Kerajaan Negeri sekitar RM8 juta,” katanya pada sidang media Selangor e-Bazar Bersama Shopee di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan kempen dua bulan sejak 4 Mei lalu disertai 8,400 usahawan, 6,400 daripadanya golongan konvensional yang ada wadah e-dagang manakala 2,000 lagi peniaga aktif sedia ada.

“Hasil langsung daripada sokongan RM1 juta berjaya menjana jualan sebanyak RM11.7 juta. Ini menandakan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 12 kali ganda,” katanya.

Beliau berkata jualan paling laris ialah barangan runcit dan haiwan peliharaan, telefon pintar dan gajet, bayi dan permainan, kesihatan dan kecantikan, fesyen muslimah serta kelengkapan rumah.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan rakyat bersedia mempraktik amalan digitalisasi dalam kehidupan selaras hasrat menjadikan Selangor Negeri Pintar 2025.

“Dengan prestasi sebaik ini, saya yakin strategi digitalisasi bakal menjadi penjana baharu ekonomi Negeri Selangor sekali gus membantu peniaga-peniaga tempatan yang terjejas dari segi perniagaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Kempen Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee merupakan kerjasama julung kali antara Kerajaan Negeri dengan pengendali laman e-dagang terkemuka bagi membantu peniaga terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi kerjasama itu, Shopee memberi sokongan dalam bentuk alat pemasaran termasuk siaran langsung, Jualan Kilat Shocking Sale dan penghantaran percuma RM19 untuk penjual baharu.


Pengarang :